“Bahagia kahwin muda..” – Hisyam Hamid

0
2488

Berkahwin pada umru yang muda bukanlah sesuatu yang baru tetapi kurangnya kefahaman dan ilmu tentang tanggungjawab suami atau isteri boleh memudaratkan hubungan itu hingga menyebabkan berlakunya perceraian buat pasangan muda.

Bagi pelakon Hisyam Hamid, berkahwin pada usia yang cukup muda iaitu 21 tahun bukan perkara negatif, malahan ia boleh mengecap bahagia sekiranya pasangan itu tahu maksud hidup berumah tangga dan tanggungjawab masing-masing.

Hisyam sudah 12 tahun berkahwin dengan isteri Rosmawati Hanafi, dan pelakon ini akui pada awalnya ia bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi kerana kurang berpengalaman dan masih muda.

Bapa kepada dua cahaya mata ini bagaimanapun memberitahu sehingga hari ini dia masih menganggap ia sebagai proses pembelajaran dan memperbaiki diri, namun meletakkan komunikasi dan memahami pasangan dan peranan sebagai kunci kebahagiaan.

“Perkahwinan itu bukan sekadar rasa cinta antara pasangan, tetapi ia juga tanggungjawab dan amanah.

“Saya sendiri tidak menafikan pada awal perkahwinan ada turun naiknya kerana usia masih muda tetapi satu perkara yang saya pegang, komunikasi di antara pasangan itu amat penting.

“Mendirikan rumah tangga pada usia muda barangkali antara keputusan terbaik pernah saya lakukan kerana ia mengubah saya menjadi insan lebih baik,”

Kata Hisyam, banyak dugaan serta cabaran dalam hidup berumah tangga adalah perkara biasa namun setiap pasangan itu perlu bijak menangani sesuatu masalah.

Antaranya yang penting adalah seperti membuang sifat ego dan lebih bertoleransi dengan pasangan agar sesuatu situasi itu dapat diselesaikan dengan berhemah.

“Macam saya, masa muda sikap panas baran itu memang ada tetapi saya selalu ingatkan diri agar buang jauh-jauh sifat ego dan lebih banyak beralah.

“Bayangkan kalau dua-dua sifatnya ‘api’ – memang akan musnah! Sebagai ketua keluarga kita sendiri perlu bijak menangani masalah dan bukannya menambah bara!,”

Kehadiran puteri sulung, Nurish Syameliah hanya selepas setahun berkahwin, Hisyam Hamid memberitahu, kelahiran anaknya itu menjadi pembuka mata dan penggerak kepadanya untuk lebih matang sebagai lelaki.

“Memiliki anak pada usia muda harus saya akui ia tanggungjawab sangat besar kerana banyak perkara yang perlu saya pelajari dan pada masa sama memastikan keperluan keluarga terjaga.

“Kehadiran anak-anak ketika usia di awal 20an juga menjadi penggerak untuk saya bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki kerana ingin memberi kehidupan lebih baik buat mereka.

Walaupun selalu berjauhan dengan anak-anak kerana kerja di Malaysia, namun Hisyam akan memastikan sentiasa berkomunikasi dengan mereka.

Katanya, walau berjauhan namun ia tidak pernah menjadi penghalang untuk membentuk hubungan akrab dengan kedua-dua cahaya matanya.

Malah kata Hisyam, dia menganggap anak-anaknya seperti seorang kawan kerana mahu mereka berasa selesa dengannya, selain berkongsi perkara yang kebiasaannya tidak dikongsi dengan ibubapa.

“Pengalaman ini membuatkan saya banyak belajar pelbagai perkara, selain mematangkan diri sebagai seorang lelaki, suami dan bapa,”

“Walaupun jauh setiap hari saya akan buat panggilan video dengan anak-anak, bertanya khabar dan berbual mengenai pelbagai perkara dengan mereka.

“Apabila saya tidak meletakkan jurang dan menganggap mereka seperti kawan, lebih mudah saya berkomunikasi dengan anak-anak malah kami boleh berkongsi apa juga perkara.

“Ada sahaja waktu terluang, saya memang akan kembali ke Singapura untuk bertemu isteri dan anak-anak kerana merekalah nyawa saya,” ujarnya.

Namun begitu kata Hisyam, dia tidak akan sesekali berkompromi mengenai pelajaran anak-anaknya dan bersikap tegas tentang hal itu.

“Mereka juga tahu… Saya memang rapat dengan mereka seperti kawan tetapi bab pelajaran saya bukan lagi ‘kawan’ mereka.

“Saya tegas kerana mahu mereka bersungguh-sungguh dalam pelajaran kerana itu adalah penentu masa depan mereka kelak,”

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here