Berita Dukacita: Mohd Haziq disahkan meninggal dunia akibat tembakan

Ini satu kisah yang amat sedih buat semua rakyat Malaysia. Setelah hampir seminggu hilang, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun, yang tidak ditemui sejak Jumaat lepas disahkan telah meninggal dunia dalam serangan di masjid.

Laporan ini dibuat oleh Sinar Harian semalam:

“Dukacita dimaklumkan jenazah Mohd Haziq yang hilang sejak Jumaat lepas telah ditemukan. Dia meninggal dunia akibat ditembak dalam insiden di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand,”

Menerusi laporan Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata berita kematian Mohd Haziq, 17 tahun, itu juga sudah diterima Wisma Putra.

Ini komennya:

“Kedutaan Malaysia sudah terima maklumat bahawa Haziq sudah meninggal dunia,”

“Berikutan itu, pengesahan daripada keluarga perlu dilakukan dengan teliti termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum sebarang pengumuman dilakukan. Saya bersama ibu mangsa malam tadi,”

“Difahamkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan ke sana (New Zealand), esok.

“Beliau akan mewakili kerajaan Malaysia untuk urusan solat jenazah dan khutbah Jumaat di Christchurch,”

Sebelum ini media melaporkan, keluarga Mohd Haziq akan melakukan pengecaman mayat di Hospital Christchurch yang dijadualkan Khamis.

Maklumat itu dikongsi Rahasnan Abdul Rashid, 57 tahun, abang kepada Nazril Hisham Omar, salah seorang mangsa tembakan yang menerima rawatan di hospital sama.

Ini komennya:

“Saya sempat bertemu dengan keluarga seorang lagi mangsa Mohd Tarmizi Shuib, 42, pagi tadi (waktu tempatan).

“Kemungkinan Tarmizi esok boleh balik tapi anaknya seorang lagi (Mohd Haziq) masih hilang. Keluarganya sepatutnya hari ni pergi buat pengecaman mayat kerana ada satu lagi mayat belum dikenal pasti.

“Sepatutnya hari ni tapi tak jadi lagi, tak tahu sebab apa. Saya tanya mereka dan mereka kata belum buat lagi, mungkin esok (hari ini) buat. Ramai keluarganya datang ke hospital,”

Sebelum ini ibunya, Marina Hamzah, 46 tahun, telah menyerahkan gambar dan nama anak sulungnya itu kepada polis New Zealand bagi memudahkan usaha mengesan remaja berkenaan dibuat.

Dalam kejadian berkenaan Mohd Haziq telah mengikut bapanya, Mohd Tarmizi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Sumber: Sinar Harian / Harian Metro / Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here