Datuk Seri Bung Moktar, Zizie Ezette didakwa rasuah RM2.8 juta… Mengaku tidak bersalah

Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Ezette telah hadir ke mahkamah untuk didakwa.

BUNG MOKTAR MENGAKU TAK SALAH KES RASUAH

Yang pertama, Bung Moktar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra), empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Bung Mokhtar, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang berada di dalam kandang tertuduh itu berkata, “Saya mengaku tidak bersalah dan ingin bicara.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Bung Mokhtar didakwa sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad telah secara rasuah memperoleh wang suapan keseluruhan RM2.8 juta melalui isterinya Zizie Izette, sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesemua wang itu diberi oleh dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, dan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ) yang mana akaun itu di bawah nama Ziezie Izette.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melewati, Kuala Lumpur, antara 12 hingga 19 Jun 2015.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) yang boleh dihukum mengikut subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan ikat jamin RM100,000 kepada tertuduh dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk K Kumarendran yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah ikat jamin yang dikenakan termasuk syarat pasport itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes dan pasport milik tertuduh diserahkan sehingga kes selesai.

ZIZIE EZETTE MENGAKU TAK SALAH BERSUBAHAT

Datin Seri Zizie Izette mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA), empat tahun lalu.

Zizie Izette atau nama penuhnya Zizie Izette A Samad,  membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas jurubahasa membacakan ketiga-tiga pertuduhan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan suaminya, Bung Moktar, yang ketika itu sebagai sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad telah secara rasuah memperoleh wang suapan keseluruhan RM2.8 juta.

Ia sebagai upah kepada Bung Moktar mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM100,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 10 Jun ini.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here