KKM Sahkan Seorang Anak Kecil Tak Divaksin, Maut Kena Jangkitan Difteria Di Johor Bahru

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dan membuat pendedahan bahawa seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun satu bulan dari Johor Bahru meninggal dunia dua hari lepas, akibat jangkitan difteria.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak berkenaan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lalu.

Kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir. Mangsa telah dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lepas dalam keadaan lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

Pada 21 Februari, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia akibat mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan.

Katanya menerusi satu kenyataan hari ini, ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kanak-kanak itu menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak KKM kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria.

Penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) serta endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ yang seterusnya boleh membawa maut.

Justeru, pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi.

Menurut Noor Hisham, pihak KKM telah mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan ini (difteria) termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan.

Rekod menunjukkan sejak Januari tahun ini sehingga kini, terdapat satu kes difteria telah disahkan di Malaysia. Berbanding tahun 2018, sebanyak 18 kes dengan 5 kematian dilaporkan di negara ini. Empat daripada lima kematian berkenaan didapati tiada menerima imunisasi.

Kesemua kematian difteria bagi tahun lepas itu melibatkan kanak-kanak di bawah 10 tahun, katanya.

Sehubungan itu, KKM menyarankan orang awam terutamanya ibu bapa agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain.

Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperoleh daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta.

Tambahnya lagi, kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan anak anda kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan kanak-kanak lain yang ada imunisasi.

Susulan itu, ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka dinasihatkan tampil mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM.

Sementara itu, bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.

Sumber: KKM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here