Lafaz cerai TAK SAH! Mahkamah putuskan PU Abu dan Ain Afini kini masih suami isteri

0
1996

Status rumah tangga ustaz selebriti, PU Abu dan Ain Afini Latif, akhirnya terjawab apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan mereka sebagai suami isteri.

Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Mohd Tohar membuat keputusan itu setelah mendapati lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dilakukan PU Abu atau nama sebenarnya, Mohammad Abu Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi, adalah tidak sah.

Kata Mohd Nurulazhar dalam penghakiman memberitahu, lafaz cerai itu adalah secara bertulis dan merupakan kinayah serta perlu bersumpah.

PU Abu yang memakai baju kemeja berjalur lengan pendek, berseluar hitam dan berkopiah tanpa diwakili peguam itu melafazkan sumpah tersebut sambil didengari Ain Afini yang berada di sebelahnya.

Ini komen hakim:

“Abu Sufyan, sebagai suami perlu jaga isteri dan jaga anak dalam kandungan.

“Orang mengandung ini lain perasaan mereka dan jangan lepas tangan,”

Mahkamah turut memerintahkan pasangan tersebut mendaftar lafaz rujuk cerai mereka pada 23 Februari lalu selepas mendapati lafaz rujuk itu sah.

Difahamkan hari ini merupakan hari lahir kepada Ain A’fini yang sedang mengandung tujuh bulan.

Pada prosiding tersebut, Ain Afini sebagai plaintif dan tidak diwakili peguam memberitahu, mereka telah bercerai pada 28 Januari tahun ini dengan kebenaran mahkamah dengan talak 1 selepas mendirikan rumahtangga pada 31 Ogos tahun lalu.

Mereka kemudiannya telah melafaz rujuk dengan niat dan melafazkan berbaik semula pada pukul 11 pagi di rumah PU Abu di Selayang Baru pada 23 Februari lalu.

Bagaimanapun, PU Abu didapati menghantar lafaz cerai menerusi aplikasi WhatsApp pukul 11.44 pagi pada 13 Mac lalu selepas seminggu meninggalkan Ain Afini.

PU Abu sebagai defendan mengesahkan kiriman pesanan itu namun menjelaskan tidak berniat untuk menceraikan Ain ‘Afini selain tidak melafazkan cerai secara lisan.

Ini kata PU Abu:

“Saya masih sayangkan isteri dan ingin hidup bersamanya. Saya juga bertanggungjawab ke atas anak yang dikandungnya

“Mengakui kesilapan meninggalkan isteri atas sebab tertentu yang tidak boleh dihuraikan. Saya juga memohon maaf kepada ibu bapa mertua,”

Terdahulu, sebelum prosiding bermula PU Abu memohon mahkamah supaya tidak membenarkan pihak media dan orang awam yang berada di galeri tersebut mendengar perbicaraan kes mereka atas isu sensitif dan mengaibkan.

“Saya tidak mahu ada gelombang kedua viral berhubung kes rumah tangga (kami) yang sebelum ini memberikan kesan terhadap kami berdua,”

Permohonan itu ditolak oleh hakim atas alasan tidak relevan.

sumber : kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here