Rusuhan Kuil: Anggota Bomba Diserang Kini Di ICU

Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya telah diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, USJ25, 1 pagi ketika bertugas semalam.

Ahli bomba berkenaan dilaporkan parah dan telahpun ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Subang Jaya Medical Centre (SJMC).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa bernama Muhammad Adib Mohd Kassim, berumur 24 tahun, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.

Ini kenyataan Jabatan Bomba:

“Akibat diserang perusuh, mangsa yang dipercayai mengalami patah tulang rusuk serta kecederaan dalaman lain kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa kini ditempatkan di unit ICU bagi membolehkan kesihatannya dipantau”

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Katanya, mangsa datang ke lokasi bersama beberapa lagi anggota BBP Subang Jaya bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh di luar kuil.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke SJMC untuk rawatan lanjut.

Selain itu, serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba membabitkan satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) turut dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.

Antara kerosakan itu seperti cermin depan dan belakang pecah, tayar pecah serta tercabut, pintu jentera tercabut selain kemek pada bahagian badan kenderaan dipercayai akibat diserang dengan objek keras.

“Dalam kejadian 1 pagi tadi, jentera FRT milik BBP Subang Jaya turut mengalami kerosakan apabila perusuh bertindak memecah cermin hadapan serta belakang selain cermin tingkap jentera di sisi kiri dan kanan.

“Serangan itu juga turut menyebabkan pintu belakang tercabut, keempat-empat tayar jentera pecah di cucuk objek tajam selain kerosakan lain pada bahagian badan jentera yang kemek dipercayai dipukul objek keras,”

Jentera bomba yang dirosakkan sudah dibawa ke Balai Polis USJ8 bagi membolehkan siasatan di lakukan oleh polis.

Sumber: BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here