“Saya bukan budak sekolah yang perlu buat pengakuan bila jalin hubungan” – Erra Fazira tentang Shahir

Selebriti popular Erra FAzira dilihat amat tenang ketika ditanya tentang status hubungannya dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi.

Erra Fazira berkata, persoalan berkenaan memang selalu ditanya kepadanya dan mungkin akan terhenti apabila dia membuat pengumuman sama ada mereka masih bercinta atau sudah putus.

Ini katanya:

“Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan sekarang. Dalam apa juga situasi, saya perlu membahagiakan diri. Kalau tunggu apabila berdua baru mahu gembira, payahlah..”

“Saya bukan budak sekolah yang perlu membuat pengakuan apabila menjalin hubungan. Sejak awal lagi, saya tidak pernah membuat apa-apa pengakuan mengenai hubungan kami. Tetapi, jika memang kami putus, lambat-laun orang akan tahu juga” 

Apabila terus diasak dengan soalan tentang Shahir, Erra Fazira hanya berkata, dia dan Shahir masih berkawan, namun tiada perancangan untuk membawa hubungan mereka ke fasa baru.

“Itu tidak bermakna kami bergaduh, sebaliknya saya dan Shahir masih lagi berhubung sebagai kawan. Jika ditanya, saya masih lagi solo dan gembira bersama anak tunggal saya,”

Menyambut setiap pertanyaan dengan senyuman, Erra berkata, dia tumpang gembira melihat teman artis seperti Fasha Sandha yang kembali bertemu jodoh.

“Peluang kedua itu datang tidak kira usia. Saya juga tidak terkecuali mahu mencari kebahagiaan, tetapi tidak semestinya ia hanya ditemui apabila hidup berdua. Bahagia itu subjektif.

“Sudah tentu, sebagai wanita, saya gembira jika dipertemukan dengan jodoh yang baik, malah itu juga menjadi doa saya selepas lima tahun bersendiri”

Dalam perkembangan seninya, Erra Fazira bakal kembali dengan lagu baru hasil ciptaan komposer Hafiz Hamidun, berjudul Menangkah Cinta.

Kini kembali ke studio rakaman, Erra Fazira akui agak gementar dan dia mengambil masa sebulan membuat persediaan untuk merakamkan lagu itu.

Sumber: BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here