Bayi dibekam cetuskan kemarahan netizen.. Ini peringatan doktor

Satu video menunjukkan seorang bayi yang masih lagi kecil dibekam sebagai rawatan dikatakan untukbuang angin dalam badan telah viral di media sosial dan ianya telah mencetuskan pelbagai reaksi dari para netizen.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Indonesia, merujuk kepada pertuturan dan dialek individu di dalam video berkenaan. Berdasarkan video itu, seorang lelaki menyatakan dia membuat bekam ke atas bayi tersebut untuk membuang angin dalam badan.

Oleh kerana video tersebut, ramai yang berang dengan tindakan itu sehingga ada yang menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak masuk akal dan amat bahaya. Ramai yang nak tahu adakah boleh bayi seperti itu dibekam.

Akhirnya seorang doktor iaitu Dr Afiq Izzudin A. Rahim memberi penjelasan dan peringatan tentang hal ini. Kata doktor ini rawatan bekam adalah tidak selamat dan tidak boleh dilakukan ke atas kanak-kanak yang berusia 10 tahun ke bawah, terutama bayi yang baru lahir.

Ini kenyataan doktor terbabit:

“Sehingga kini tiada bukti pun mengenai manfaat atau keberkesanan amalan berbekam untuk bayi. Untuk bayi yang baru lahir, susu ibu adalah ubat terbaik sama ada kembung perut atau sakit kuning,”

“Ini bermakna kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak dibenarkan menerima rawatan bekam berkenaan. Saya juga tidak pernah jumpa lagi kajian yang membolehkan bayi melakukan amalan itu.

“Bagaimanapun, saya tahu ada perawat-perawat alternatif di Indonesia yang menggalakkan amalan ini dilakukan terhadap bayi namun kajian itu agak lemah dan tidak kukuh kerana ia merupakan pendapat peribadi perawat tersebut.

“Rawatan bekam secara umum adalah untuk mengeluarkan darah kotor di dalam badan dan ia hanya berfungsi sebagai rawatan sampingan (complimentary) dalam perubatan moden, khusus untuk pesakit yang menghidap masalah sendi. Malah, ia juga tidak sesuai dilakukan ke atas seseorang yang sedang demam,”

Katanya lagi, berbekam juga termaktub dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, Dr Afiq yang merupakan salah seorang daripada kumpulan pakar kesihatan MedTweetMy memberitahu rawatan bekam juga memberi risiko penyebaran penyakit berjangkit melalui penggunaan bekas yang tidak disteril atau dibersihkan dengan betul.

“Bila tengok balik video itu, posisi cawan bekam yang diletakkan di antara tulang belikat bayi itu tiada kaitan untuk mengeluarkan angin sebaliknya hanya untuk mengurangkan kesakitan pada bahagian atas badan dan tekak”

“Amalan bekam ini juga memiliki risiko seseorang itu dijangkiti penyakit berjangkit dan jangkitan kuman pada luka. Terdapat dua jenis bekam, dry cupping (bekam kering) dan wet cupping (bekam basah). Berdasarkan penelitian video itu, mungkin mereka melakukan ‘dry cupping’ terhadap bayi berkenaan.

“Meskipun dalam video itu bayi berkenaan tidak menangis atau memberi tanda dia sedang sakit, tetapi kita harus faham bekam ini mungkin bersifat invasif. Yang paling kita takuti jika bayi ini sudah nyawa-nyawa ikan dan terlambat untuk diselamatkan”

Oleh itu, Dr Afiq menasihati ibu bapa agar tidak mudah percaya dengan maklumat atau informasi yang dikongsikan di media sosial terutama melibatkan kesihatan bayi atau kanak-kanak.

“Jika terdapat masalah kesihatan pada anak-anak, ibu bapa haruslah mendapatkan nasihat dan pemeriksaan di klinik berdekatan. Jangan mudah percaya dengan panduan kesihatan yang dikongsikan di media-media sosial dikhuatiri info yang dikongsikan diperolehi daripada individu yang tidak bertauliah. Bagaimanapun sehingga kini tiada komplikasi bekam yang membawa kepada kematian”

Itulah penjelasan dari doktor berkenaan tentang berbekam ketika bayi. Janganlah buat ye ibu bapa di luar sana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here