Enjin kapal terbang berbunyi ganjil

Seorang pengacara televisyen Indonesia, Conchita Caroline mempunyai pengalaman menaiki pesawat yang sama yang telah terhempas dan mengorbankan ramai orang hari Isnin yang lalu.

Conchita Caroline telah mendedahkan pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pagi Isnin lalu sudah mengalami beberapa masalah ketika dia menaiki penerbangan itu dari Denpasar ke Jakarta, sehari sebelum kejadian.

Pengacara TransTV itu berkata, dia bersama beberapa kru stesen berkenaan menaiki pesawat JT610 dari Bali ke Jakarta pada malam Ahad lalu sebelum ia terhempas ketika meneruskan penerbangan ke Pangkal Pinang pada pagi Isnin.

Didapati memang pesawat sama dengan nombor pendaftaran PK-LQP jenis Boeing 737 MAX 8 digunakan untuk penerbangan Denpasar ke Jakarta pada jam 7.30 petang yang sudah mengalami masalah teknikal seperti didedahkan Conchita.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Flightradar 24, pesawat itu digunakan untuk penerbangan Denpasar ke Jakarta pada 28 Oktober iaitu sehari sebelum nahas dan mengalami kelewatan kira-kira dua jam berikutan masalah teknikal.

Dari semakan yang dibuat juga mendapati pesawat dengan nombor pendaftaran sama digunakan untuk penerbangan Jakarta ke Pangkal Pinang menggunakan kod penerbangan JT610 sebelum terhempas kira-kira 13 minit sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Conchita yang menceritakan pengalaman itu dalam Instagramnya memberitahu, mengikut jadual penumpang perlu menaiki pesawat itu pada jam 6.15 petang tetapi tergendala akibat masalah teknikal sebelum dibenarkan masuk pada jam 7.30 malam.

Katanya, apabila semua penumpang masuk ke dalam kabin, enjin pesawat itu beberapa kali mati dan penyaman udara juga tidak berfungsi menyebabkan beberapa kanak-kanak menangis kerana kepanasan.

Ini antara komen dari Conchita:

“Ketika pesawat itu bergerak ke landasan ia tiba-tiba berhenti sebelum berpatah balik ke parkir atas masalah teknikal yang tidak diberitahu kru.

“Pesawat berada di parkir selama 30 minit dengan keadaan panas kerana penyaman udara tidak berfungsi. Ada anak kecil yang menangis dan muntah kerana kepanasan. Enjin pesawat juga berbunyi ganjil dan lantai berasa panas”

“Bukan saya menceritakan pengalaman untuk merumitkan situasi tetapi apa yang ditekankan adalah kurangnya komunikasi antara kru kabin dan penumpang berhubung kelewatan penerbangan”

Conchita berkata, seharusnya jaminan keselamatan diambil kira apabila melihat keadaan pesawat yang sudah keluar parkir dan bersedia untuk berlepas namun terpaksa dibatalkan kerana masalah teknikal.

Beliau berkata, jika pesawat yang dinaikinya bukan pesawat yang digunakan untuk laluan JT610, ternyata banyak pesawat milik Lion Air yang bermasalah dan perkara itu seharusnya dipandang serius oleh syarikat penerbangan itu.

Seorang lagi selebriti Indonesia, Aphrodita Mayangsari yang turut menaiki penerbangan dari Denpasar ke Jakarta itu turut menceritakan bagaimana pesawat itu turun dan naik sepanjang perjalanan dan ianya amat menakutkan.

“Pesawat itu beberapa kali turun dan naik seperti mahu terhempas. Beberapa penumpang termasuk rakan saya muntah” -itulah komennya.

Dalam satu laporan dari BBC, log teknikal pesawat mendedahkan panel bacaan kelajuan udara antara kapten dan pegawai pertama tidak sama.

“Mengenal pasti panel peralatan kapten tidak boleh digunakan dan diserahkan kawalan kepada pegawai pertama. Sambung NNC (Non Noise Certified) daripada Kelajuan Udara tidak boleh digunakan dan ALT tidak sejajar”

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here