Ini Jawapan Yang Keluar Dari Mulut Aidil Zafuan Setelah Tewas Kepada Vietnam

Kami telah berikan yang terbaik,” itu kata-kata yang diucapkan oleh pemain pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak setelah pasukan bola sepak Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, semalam.

Keputusan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas dengan keputusan agregat 3-2 selepas seri 2-2 Selasa lepas, dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Aidil Zafuan yang merupakan tunggak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) akui amat kecewa dengan kekalahan itu, tetapi tetap meluahkan rasa terima kasih kepada seluruh penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan sejak kejohanan dwi tahunan itu bermula.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong dari awal. Ini lah bola sepak…kami sudah buat yang terbaik untuk perlawanan ini. Siapa sangka pasukan Malaysia yang tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, boleh sampai ke final.

“Pasukan sudah berikan segalanya mungkin rezeki kami hanya menduduki naib johan. Kami minta maaf kerana piala kejuaraan tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia,”

Pada aksi semalam, gol sulung Vietnam hadir menerusi penyerang bernombor 11 iaitu Nguyen Anh Duc seawal minit keenam selepas pertahan Malaysia ingatkan pasukan Vietnam berada dalam keadaan offside.

Skuad Vietnam atau lebih dikenali dengan nama Naga Emas yang dikendalikan oleh jurulatih dari Korea Selatan Park Hang-Seo memang bermula garang sejak wisel permainan ditiupkan.

Setelah berjaya jaringkan gol, barulah pasukan Malaysia mula mengatur langkah untuk mencari gol tetapi usaha demi usaha telah gagal.

Menurut Aidil, jaringan awal dari Nguyen Anh Duc itu ternyata memberi tekanan kepada pasukan sekali gus mengganggu taktikal serta rentak permainan.

“Mungkin gol awal itu buat kita susah nak cari gol penyamaan ataupun usaha untuk mendahului. Ini adalah final, apa-apa sahaja boleh terjadi,”

Ini adalah kali ketiga Malaysia menamatkan kejohanan itu selaku naib johan selepas kali pertama pada edisi 1996 diikuti 2014.

Sumber – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here