“Trauma dan serik” Awal Ashaari Dan Scha Al Yahya Menang Saman RM345,305

Kami buat perkara ini bukan nak untung, tetapi menuntut hak yang sudah kami laburkan,” Itulah antara kata dari Awal Ashaari selepas berjaya menang kes tuntutan saman sebanyak RM345,305 terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Syarikat berkenaan menjadi pengedar minyak wangi eksklusif mereka iaitu Blue dan Maroon.

Pengacara popular ini berkata, kemenangan itu cukup bermakna buat dia dan isteri, Scha Alyahya sekali gus memberi pengajaran kepada pihak lain agar menjalankan perniagaan secara jujur.

Ini komen Awal Ashaari:

“Kami lega kerana kemenangan berpihak kepada kami dan nasib terbela. Sebelum ini saya pernah buat banyak perniagaan. Banyak kali juga ditipu apabila ada pihak ambil kesempatan. Jadi, pada usia sekarang saya tidak mahu lagi dipijak. Cukup semua ini dan sampai waktu saya perlu bertindak.

“Kepada pengeluar produk dan ahli perniagaan, carilah rezeki dan berniaga dengan berhemah, jujur dan jangan ambil kesempatan atas kelemahan orang lain,”

Awal Ashaari juga sempat mengingatkan kepada rakan artis atau mana-mana pihak supaya memahami isi kandungan dan terma perjanjian.

“Apabila ada sesuatu perjanjian memang kena buat penelitian. Jangan disebabkan terlalu teruja nak buat perniagaan hingga lupa dan terlepas pandang terma penting. Nasihat saya kepada semua yang nak memulakan perniagaan dapatkan khidmat peguam. Pastikan baca dan faham kontrak sebelum yakin untuk meneruskan perjanjian,”

Sementara itu, Scha Al Yahya berkata, dia akui agak trauma dan serik bekerjasama dengan syarikat tempatan.

“Trauma dan serik memang ada, cuma saya ambil perkara ini sebagai pengalaman dan pengajaran untuk lebih berhati-hati.

“Kepada rakan artis lain, jika perkara sebegini terjadi pada diri, anda perlu ke depan. Jangan biarkan ia sentiasa menjadi nasib diri. Ini pengajaran termahal buat kami,”

Pada 30 April lalu Scha dan Awal selaku plaintif memfailkan saman terhadap D’Haja (M) Sdn Bhd selaku defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM300,000 atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian berhubung penjualan produk minyak wangi yang dikeluarkan pasangan selebriti berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here